Manusia! Selagi namanya dunia. Pasti ada saja yang tak setuju.
Namun, itu bukan alasan untuk kita menolak atau mengetepikan sesuatu. Segala permasalahan pastinya ada jalan penyelesaian dan solusinya bergantung kepada sejauh mana pintarnya kita menguruskan.
Entri pada kali ini, cikgu ingin berkongsi bagaimana caranya untuk buatkan orang disekeliling kita bersetuju dengan hanya satu keputusan. Meskipun cara ini bukanlah 100% mampu membuatkan semua orang bersetuju, tapi mungkin mampu meminimalkan bilangan yang menolak.
Kita sendiri tahu, keputusan terhadap sesuatu yang memerlukan persetujuan bukanlah suatu hal yang mudah, namun tidak pula sukar jika kena dengan caranya. Seseorang perlulah bijak merancang dan mengatur percakapan.
Pertamanya, perlu mempunyai ilmu.
Percakapan tanpa ilmu ibarat kapal yang berlayar di tengah lautan. Jika tidak dikemudi dengan baik, pasti hanyut tanpa arah tujuan. Begitu juga dengan percakapan seseorang yang memerlukan strategi dan pastinya strategi itu boleh dihasilkan sekiranya sessorang memiliki tahap ilmu yang tinggi. Bergantung pada kebijaksanaan seseorang untuk mengaitkan sesuatu isu dan hujahnya pula mestilah jelas dan boleh diterima dalam kelompok yang mengikuti perbincangan.
Belajar mengenali karakter seseorang.
Sifat dan sikap seseorang ada kalanya mampu diterjemah dengan mimik muka dan bahasa badan. Dari situlah, kita boleh mengenali karakter seseorang. Kemampuan membaca karakter seseorang bergantung pada seberapa ramai pergaulan kita sehari-hari. Makin ramai yang kita temui, maka makin banyaklah ragam manusia yang kelihatan. Termasuklah cara berjabat tangan, pandangan mata,bahkan cara seseorang makan dan minum.
Kesanggupan menerima pendapat atau kecaman.
Setiap orang punya keberanian yang berbeza, maka tak hairanlah jika ada saja yang berani mengutarakan pendapat atau pandangan, bahkan lebih menguji kesabaran tatkala ada yang berani mengecam. Namun, sebagai individu yang memiliki ilmu, jangan pula kita tewas gara-gara dikecam. Kadang kala, perkara yang dianggap kecaman itu bukanlah suatu yang bersifat kecaman, tapi pendapat atau luahan hati yang cuba dilontarkan oleh individu tersebut. Barangkali, dia tidak memiliki ilmu dalam komunikasi. Jadi, kitalah yang berperanan dalam menyelongkar cara komunikasi yang dimilikinya. Lihat saja di perkampungan, jika kita bercakap dengan orang-orang tua, pasti cara percakapannya berbeza bukan?
Namun, namanya juga kehidupan.
Mana mungkin kita mampu puaskan hati semua orang. Mana mungkin setiap masa orang akan bersetuju dengan keputusan kita. Tapi, perkara yang paling penting adalah bagaimana kita berusaha meminimalkan satu-satu keadaan yang berpotensi menimbulkan ketegangan.
Dalam erti kata, belajarlah apa-apa sahaja selagi ianya bermanfaat buat diri kita. Cubalah mengenali ragam manusia sebaik-baiknya dan belajarlah untuk menerima meskipun kadang kala ianya pahit untuk diterima.
No comments:
Post a Comment